Thursday 5 March 2020

KEPENTINGAN ASAS GRAFIK








NOTA : ASAS GRAFIK




Menurut Normaliza Abd Rahim (2019), asas grafik merupakan perkara asas yang penting dalam penggunaan bahan yang mengandungi grafik. Terdapat lima elemen penting asas grafik iaitu :

1) Mudah

- Mudah disini bermaksud sesuatu gambaran yang diambil sama ada dalam bentuk foto atau video yang mudah untuk difahami tanpa memerlukan penjelasan. Mudah juga bermaksud gambaran yang dilihat terus sampai mesej yang ingin disampaikan dan tidak menimbulkan kekeliruan terhadap sesiapa yang memandangnya.

2) Warna

-  Grafik bagi sesuatu bentuk foto mahupun video mestilah mengandungi warna yang tidak lebih daripada tiga warna. Walau bagaimanapun, terdapat juga grafik yang lebih daripada tiga warna. Dalam hal ini, pemilihan warna tersebut adalah bergantung kepada objektif serta mesej yang ingin disampaikan.

3) Teks

- Jenis dan saiz font yang digunakan dalam grafik wajarlah bersesuaian untuk dipersembahkan. Penggunaan teks dalam grafik adalah bertujuan untuk memberikan kefahaman yang lebih terperinci. Warna yang digunakan pada font juga mestilah kelihatan jelas kerana ia juga penting dalam asas grafik.

4) Kesesuaian

- Merujuk kepada cara grafik diambil sama ada latar masa, latar tempat, latar watak bersesuaian dengan foto atau video yang diambil.

5) Keseimbangan

- Merujuk kepada ruang grafik itu sendiri sama ada ruang yang digunakan adalah ruang kiri atau kanan dan ruang atas atau bawah.

 Bibliografi

Normaliza Abd Rahim (2019), Multimedia dalam Bahasa. Universiti Putra Malaysia, Serdang.


TEORI ANALISIS WACANA KRITIS OLEH VANDIJK (1977)

VanDijk (1977) membahagikan analisis wacana kepada beberapa elemen iaitu makro dan mikro, kuasa kawalan, kawalan wacana awam dan kawalan pemikiran. Setiap elemen mengandungi huraian yang perlu dianalisis. Struktur makro dianalisis dengan melihat makna global daripada suatu teks yang dapat diamati serta daripada topik atau tema sesuatu teks. Superstruktur pula membincangkan tentang kerangka suatu teks seperti bahagian pendahuluan, isi, penutup dan kesimpulan. Struktur mikro pula memberi fokus kepada makna lokal daripada suatu teks yang dapat diamati daripada pilihan kata, kalimat dan gaya yang dipakai oleh teks.

Menurut Normaliza Abd Rahim ( 2019), teori analisis wacana kritis yang dikemukakan oleh Vandijk terbahagi kepada tiga struktur iaitu struktur makro, superstruktur serta struktur mikro. Struktur makro adalah struktur yang dilihat dengan lebih luas kerana ia dianalisis dengan melihat kepada makna global daripada sesuatu topik ataupun tema bagi sesuatu teks. Selain itu, superstruktur pula dilihat sebagai perincian atau kerangka bagi sesuatu teks. Akhir sekali, struktur mikro pula dikatakan lebih berfokus kepada makna lokal bagi sesuatu teks yang diamati.


Rujukan:
Normaliza Abd Rahim (2019), Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi. Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu.

MANFAAT PENGGUNAAN INSTAGRAM







Antara manfaat penggunaan Instagram adalah ia  dapat membantu dalam mempelajari cara merakam video dan juga menonton cerita pendek Instagram pengguna lain dalam akaun Instagram. Pengguna akan dapat mempelajari pelbagai fungsi yang terdapat dalam Instagram dan dapat menggunakan kemahiran tersebut dengan sebaiknya. Selain itu, pengguna juga diberi peluang untuk membuka hati kepada umum melalui mesej yang disampaikan dalam aplikasi Instagram tersebut. Instagram juga dapat membantu pengguna yang anti-sosial untuk belajar menyesuaikan diri dengan masyarakat luar. Media sosial ini tidak hanya digunakan untuk meluahkan perasaan atau berkongsi cerita tetapi juga ia boleh dimanfaatkan sebagai medium baharu dalam sukatan pelajaran dalam kalangan guru di sekolah. Dengan gaya pengajaran yang lebih relax dan seronok, pelajar akan lebih cenderung untuk fokus di dalam kelas.  

Rujukan:

Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), Ehh!!! Media Sosial. Penerbit UMT, Universiti Malaysia Terengganu.


RUMUSAN KAJIAN TENTANG PENULISAN BLOG


Menurut Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), keputusan kajian terbahagi kepada tiga bahagian yang berkaitan dengan blog iaitu pengajian kesusteraan, pembelajaran bahasa dan pembelajaran multimedia.

Blog di dalam Pengajian Kesusasteraan


Berdasarkan keputusan dan perbincangan berkaitan blog yang telah dilakukan terdapat beberapa garapan kajian yang boleh dilihat. Genre kesusasteraan adalah seperti puisi, cerpen, skrip drama dan pantun. Ini boleh dilihat bahawa kebanyakan responden memilih salah satu daripada genre kesusasteraan yang mereka suka untuk ditulis di dalam blog. Perbincangan kajian berkaitan blog di dalam Pengajian Kesusasteraan mendapati bahawa ramai responden menyatakan bahawa blog merupakan medium yang terbaik untuk menulis cerpen pendek. Bagi puisi, responden wanita dilihat lebih gemar menulis puisi di dalam blog mereka berbanding lelaki. Mereka mencadangkan bahawa puisi adalah genre yang sesuai ditulis dalam blog dan penulisan tersebut adalah berdasarkan emosi mereka terhadap seseorang. Untuk cerpen pendek pula, responden wanita mempunyai peratusan yang lebih tinggi berbanding responden lelaki. Kedua-duanya menyatakan bahawa mereka menulis cerpen pendek bagi menambah baik kemahiran menulis. Disebabkan ia senang ditulis, maka penyampaian tersebut akan mudah difahami oleh semua pembaca. Menulis skrip juga turut dicadangkan oleh responden dengan penyataan bahawa menulisnya dengan bahasa sasaran adalah sesuai dengan penulisan blog. Peratusan responden perempuan lebih tinggi dan ia mungkin menyumbang kepada fakta bahawa responden wanita berminat berkongsi idea dan pandangan dalam menulis skrip berbanding lelaki. Di samping itu, responden turut mengesyorkan pantun sebagai salah satu kaedah dalam penulisan blog. Responden wanita kelihatan lebih berpuas hati dengan pantun memandangkan mereka mengetahui cara untuk menulis pantun dua rangkap dengan baik. 

Blog dalam Pembelajaran Bahasa


Menurut Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2019), responden wanita mencatatkan peratusan yang lebih tinggi berbanding responden lelaki bagi penulisan surat. Ini disebabkan responden wanita dikatakan suka menulis surat kepada teman istimewa atau ibu bapa mereka, sementara responden lelaki pula mungkin tidak suka menulis memandangkan mereka lebih suka bercakap secara bersemuka. Responden wanita menyatakan surat yang romantis ditulis untuk dibaca dengan penuh perasaan, manakala surat yang ditulis kepada ibu bapa pula adalah lebih jujur. Selain itu, menulis blog juga adalah cara untuk meluahkan perasaan. Peratusan wanita lebih tinggi berbanding lelaki memandangkan responden wanita lebih bersikap sentimental serta menganggap blog sebagai medium terbaik untuk meluahkan perasaan. Berbeza pula dengan responden lelaki yang mengatakan bahawa penulisan perasaan yang dibaca oleh orang lain akan membuatkannya berasa malu. Tambahan pula, bilangan responden untuk kedua-dua jantina adalah hampir sama bagi penulisan teka-teki di dalam blog. Responden bersetuju bahawa respon yang ditinggalkan oleh pembaca di ruangan komen dapat meningkatkan motivasi mereka untuk menulis lebih banyak lagi teka-teki di dalam bahasa sasaran.



Blog dalam Pembelajaran Teknologi


Menurut Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2019), penulisan blog membantu responden di dalam proses pembelajaran teknologi. Misalnya, video, audio, dan gambar. Bagi video, sebanyak 100% telah dipilih oleh responden lelaki dan wanita. Hal ini demikian kerana mereka teruja untuk menyiarkan klip video di dalam blog mereka. Hal yang sama turut berlaku di bahagian audio. Kesemua responden suka meletakkan lagu kegemaran mereka dalam blog. Selanjutnya, gambar telah dipilih oleh 93% responden lelaki dan 100% responden wanita. Peratusan wanita lebih tinggi kerana mereka lebih suka menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar. 

Rujukan

Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019). Ehh!!! Media Sosial. Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu























TAKSONOMI STRATEGI KOMUNIKASI DORNYEI & SCOTT

Taksonomi Strategi komunikasi oleh Dornyei & Scott (1997) mempunyai 12 taksonomi dalam strategi komunikasi iaitu pengabaian atau peninggalan mesej, pengelakan topik, penukaran mesej, penghampiran, penggunaan perkataan semua tujuan, penciptaan perkataan baharu, penstrukturan semula atau penggunaan kaedah bukan bahasa, terjemahan literal, pengantarabangsaan, pertukaran kod, meminta pertolongan/penjelasan/pengesahan atau membuat tekaan dan akhir sekali penggunaan perkataan yang tiada makna atau strategi penanda. Menurut Dornyei & Scott (1997), kesemua taksonomi strategi komunikasi dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu strategi pengelakan, pencapaian atau strategi pampasan dan penangguhan atau strategi tambahan waktu. Hal ini dapat diasingkan dengan strategi langsung, strategi tidak langsung dan strategi interaksi. 

Taksonomi Strategi Komunikasi Dornyei & Scott (1997) seterusnya ialah peninggalan mesej yang memberi maksud meninggalkan mesej atau berhenti di tengah-tengah ayat manakala pengelakan topik merujuk kepada pengelakan menulis sesuatu topik oleh kerana tidak tahu sesuatu perkataan. Penukaran mesej merujuk kepada penukaran mesej asal dengan mesej baharu oleh sebab kekurangan kosa kata manakala penghampiran ialah penggunaan perkataan yang mempunyai semantik yang hampir sama dengan perkataan sasaran. Taksonomi seterusnya ialah penggunaan perkataan semua tujuan bermaksud penggunaan item leksikal umum untuk menggantikan perkataan yang lebih tepat atau pun spesifik manakala ciptaan perkataan baharu merupakan ciptaan perkataan yang tidak terdapat dalam leksikal bahasa sasaran. Penstrukturan semula pula ialah peninggalan mesej yang disebabkan oleh kekangan bahasa, mnyambung mesej dengan mengubah daripada struktur asal ayat. Terjemahan literal merupakan terjemahan sesuatu perkataan , frasa atau struktur sesuatu bahasa kepada bahasa sasaran. Seterusnya, pengantarabangsaan merujuk kepada bahasa lain dari bahasa ibunda dan diubah suai secara fonologi atau morfologi kepada bahasa sasaran dan penukaran kod bermaksud penggunaan perkataan atau frasa daripada bahasa lain dalam penulisan. Penggunaan perkataan yang tiada makna atau strategi penanda digunakan apabila seseorang itu menggantikan perkataan dengan apa jua perkataan atau pun bunyi yang tidak mempunyai  makna.

Kepentingan Strategi Komunikasi:

Menurut Normaliza Abd Rahim (2019), Strategi Komunikasi memainkan peranan penting terutama dalam tiga bahagian iaitu strategi pengelakan, pencapaian atau strategi pampasan dan penangguhan atau strategi tambahan waktu. Strategi tersebut diasingkan pula dengan strategi langsung, strategi tidak langsung dan strategi interaksi. Kesemua strategi yang dikemukakan oleh Dornyei & Scott (1997) ini membolehkan setiap orang berupaya untuk mengetahui tahap komunikasi tersendiri.


Rujukan:
Normaliza Abd Rahim (2019), Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi . Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu.