Menurut Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), keputusan kajian terbahagi kepada tiga bahagian yang berkaitan dengan blog iaitu pengajian kesusteraan, pembelajaran bahasa dan pembelajaran multimedia.
Blog di dalam Pengajian Kesusasteraan
Berdasarkan keputusan dan perbincangan berkaitan blog yang telah dilakukan terdapat beberapa garapan kajian yang boleh dilihat. Genre kesusasteraan adalah seperti puisi, cerpen, skrip drama dan pantun. Ini boleh dilihat bahawa kebanyakan responden memilih salah satu daripada genre kesusasteraan yang mereka suka untuk ditulis di dalam blog. Perbincangan kajian berkaitan blog di dalam Pengajian Kesusasteraan mendapati bahawa ramai responden menyatakan bahawa blog merupakan medium yang terbaik untuk menulis cerpen pendek. Bagi puisi, responden wanita dilihat lebih gemar menulis puisi di dalam blog mereka berbanding lelaki. Mereka mencadangkan bahawa puisi adalah genre yang sesuai ditulis dalam blog dan penulisan tersebut adalah berdasarkan emosi mereka terhadap seseorang. Untuk cerpen pendek pula, responden wanita mempunyai peratusan yang lebih tinggi berbanding responden lelaki. Kedua-duanya menyatakan bahawa mereka menulis cerpen pendek bagi menambah baik kemahiran menulis. Disebabkan ia senang ditulis, maka penyampaian tersebut akan mudah difahami oleh semua pembaca. Menulis skrip juga turut dicadangkan oleh responden dengan penyataan bahawa menulisnya dengan bahasa sasaran adalah sesuai dengan penulisan blog. Peratusan responden perempuan lebih tinggi dan ia mungkin menyumbang kepada fakta bahawa responden wanita berminat berkongsi idea dan pandangan dalam menulis skrip berbanding lelaki. Di samping itu, responden turut mengesyorkan pantun sebagai salah satu kaedah dalam penulisan blog. Responden wanita kelihatan lebih berpuas hati dengan pantun memandangkan mereka mengetahui cara untuk menulis pantun dua rangkap dengan baik.
Blog dalam Pembelajaran Bahasa
Menurut Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2019), responden wanita mencatatkan peratusan yang lebih tinggi berbanding responden lelaki bagi penulisan surat. Ini disebabkan responden wanita dikatakan suka menulis surat kepada teman istimewa atau ibu bapa mereka, sementara responden lelaki pula mungkin tidak suka menulis memandangkan mereka lebih suka bercakap secara bersemuka. Responden wanita menyatakan surat yang romantis ditulis untuk dibaca dengan penuh perasaan, manakala surat yang ditulis kepada ibu bapa pula adalah lebih jujur. Selain itu, menulis blog juga adalah cara untuk meluahkan perasaan. Peratusan wanita lebih tinggi berbanding lelaki memandangkan responden wanita lebih bersikap sentimental serta menganggap blog sebagai medium terbaik untuk meluahkan perasaan. Berbeza pula dengan responden lelaki yang mengatakan bahawa penulisan perasaan yang dibaca oleh orang lain akan membuatkannya berasa malu. Tambahan pula, bilangan responden untuk kedua-dua jantina adalah hampir sama bagi penulisan teka-teki di dalam blog. Responden bersetuju bahawa respon yang ditinggalkan oleh pembaca di ruangan komen dapat meningkatkan motivasi mereka untuk menulis lebih banyak lagi teka-teki di dalam bahasa sasaran.
Blog dalam Pembelajaran Teknologi
Menurut Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2019), penulisan blog membantu responden di dalam proses pembelajaran teknologi. Misalnya, video, audio, dan gambar. Bagi video, sebanyak 100% telah dipilih oleh responden lelaki dan wanita. Hal ini demikian kerana mereka teruja untuk menyiarkan klip video di dalam blog mereka. Hal yang sama turut berlaku di bahagian audio. Kesemua responden suka meletakkan lagu kegemaran mereka dalam blog. Selanjutnya, gambar telah dipilih oleh 93% responden lelaki dan 100% responden wanita. Peratusan wanita lebih tinggi kerana mereka lebih suka menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar.
Rujukan
Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019). Ehh!!! Media Sosial. Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu
No comments:
Post a Comment